Kebolehpasaran graduan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS meningkat

Kebolehpasaran graduan Fakulti Komputeran dan Informatik UMS meningkat

Labuan: Peningkatan statistik dan ‘trend’ kebolehpasaran graduan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melonjak kepada 94 peratus pada tahun lalu.

Dekan FKI, Prof Madya Dr Mohd Hanafi Ahmad Hijazi, berkata ia satu peningkatan yang ketara berbanding kebolehpasaran graduan yang hanya mencatat 65 peratus, tiga tahun sebelum itu.

Antara pelajar baharu Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mengikuti Majlis Minggu Suai Mesra (MSM) secara dalam talian.

Katanya, maklumat yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) itu sekali gus membuktikan graduan FKI adalah relevan dalam pasaran kerja masa kini.

“Fakta ini juga menunjukkan bahawa peluang pekerjaan bagi aliran Sains Komputer dan Teknologi Maklumat bertambah seiring dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Minggu Suai Mesra (MSM) Pelajar Baharu Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI), UMS sesi 2021/2022, di sini, baru-baru ini.

Program secara dalam talian itu dihadiri 375 pelajar baharu FKI.

Hadir sama pada MSM itu ialah Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar FKI, Prof Madya Dr Chin Kim On; Timbalan Dekan Penyelidikan dan Industri, Prof Dr Jason Teo Tze Wi; Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Antarabangsa, Dr Muzzafar Hamzah dan Timbalan Pendaftar FKI, Molly Donna Awang Sham.

Hanafi berkata, pensyarah FKI sentiasa beriltizam untuk meningkatkan kemahiran diri pelajar dalam pelbagai aspek.

“Ini termasuklah penguasaan teknik komunikasi berkesan; pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, kerja berpasukan; moral dan etika profesional; dan keusahawanan.

“Pelajar juga diberi pendedahan aspek kepimpinan dan budaya pembelajaran berterusan dalam konteks persekitaran serta aspirasi pembangunan masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut agar mengingatkan pelajar supaya kekal meningkatkan disiplin diri, sentiasa bersiap sedia, menepati masa dan menumpukan sepenuh perhatian sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan.

Katanya, semua pelajar perlu berpegang kepada adab ketika menimba ilmu terutamanya pada ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19 yang mana pembelajaran atas talian adalah kaedah utama yang digunakan.

“Kita yang mencari ilmu, bukan ilmu yang mencari kita. Pelajar yang mencari guru, bukan guru yang mencari pelajar,” katanya.

Semua pelajar baharu FKI terdiri daripada 88 pelajar Program Kejuruteraan Perisian, Kejuruteraan Rangkaian (85), Teknologi Multimedia (73), Komputeran Perniagaan (47) dan seramai 82 pelajar bagi Program Sains Data.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|