Syarikat Taiwan minat labur RM1 bilion bangunkan resort mewah di Pulau Mengalum

Syarikat Taiwan minat labur RM1 bilion bangunkan resort mewah di Pulau Mengalum

Kota Kinabalu: Syarikat hartanah terbesar Taiwan, Sinyi Realty Group, menyatakan minat bagi membangunkan sebuah resort eko pelancongan mewah dengan anggaran pelaburan mencecah RM1 bilion di Pulau Mengalum, dekat sini.

Menyambut baik hasrat syarikat itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri sedia memberi bantuan yang diperlukan untuk memudahkan pelaburan mereka di negeri ini.

Beliau berkata, pembangunan dalam sektor pelancongan sangat penting kepada Sabah sebagai antara penyumbang utama ekonomi negeri yang digariskan dalam pelan pembangunan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Pelancongan sangat penting bagi Sabah dan sebab itulah sektor ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan Halatuju SMJ,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Delegasi Sinyi diketuai oleh Ketua Kumpulannya, Chou Chun Chi dan disertai Naib Pengerusi Kumpulan Sinyi, Chou Wang Mei Wen; Pengurus Besar; Chow Kok Yein; Pengurus Kanan, Tann Chung Yong dan Pengurus Projek, Chou Chun Hao.

Yang turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Dalam pertemuan itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, turut menyatakan penghargaan dan kegembiraannya kerana syarikat hartanah terbesar Taiwan itu memilih Sabah untuk pelaburan mereka.

“Sabah adalah salah satu negeri paling cantik di Malaysia dan banyak yang kami tawarkan dari aspek pelaburan dalam sektor pelancongan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Kumpulan Sinyi, Chou Chun Chi merakamkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas sokongan terhadap usaha itu dan menyatakan keyakinannya terhadap potensi Pulau Mengalum sebagai destinasi pelancongan mewah.

“Ia akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan diharapkan dapat membawa 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun apabila projek itu siap nanti,” katanya.

Pada 2019, syarikat berkenaan dilapor memperoleh lebih separuh daripada tanah di Pulau Mengalum dengan harga RM266 juta untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

Kumpulan Sinyi merancang untuk memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan penghutanan semula dan juga memulihkan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat aktiviti pengeboman ikan.

Pulau Mengalum sebelum ini pernah dijadikan pusat kuarantin ternakan sehingga 1997.

Sebelum penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, pulau yang mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dengan bot dari ibu negeri itu amat popular dalam kalangan pelancong China.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|