18,850 penduduk 6 kampung di Tawau, Semporna dan Kunak dapat akses 4G

18,850 penduduk 6 kampung di Tawau, Semporna dan Kunak dapat akses 4G

Kota Kinabalu: Kira-kira 18,850 penduduk enam kampung di Tawau, Semporna dan Kunak kini dapat menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G yang lebih pantas dan berkualiti.

Kampung terbabit ialah Bukit Qouin Ladang Sungai Kawah dan Tamang, Pulau Sebatik di Tawau; Kampung Kabimbangan dan Igang-Igang di Semporna; serta Kampung Kunak 3 dan Telaga Tujuh di Kunak.

Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini, liputan yang lebih baik itu dinikmati selepas enam daripada sembilan menara komunikasi baharu yang dibina di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) beroperasi sepenuhnya sejak 30 Julai lalu.

Dalam pada itu, katanya kerja pembinaan dan pemasangan alat pemancar di tapak menara komunikasi baharu di tiga lagi lokasi di Tawau sedang giat dilaksanakan oleh pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik.

Tiga lokasi terbabit ialah Kampung Iban Kuala Nangsang, Sungai Udin Sabah Softwood dan Kampung Skim Mesej Ladang Sungai Labah di Pulau Sebatik yang dijangka siap secara berperingkat menjelang suku keempat Disember depan.

Setakat Ogos 2021, kataya pelaksanaan pelan JENDELA di Bahagian Tawau menyaksikan sebanyak 16,480 premis di daerah Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu sudah disediakan akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian retap berkelajuan tinggi.

Jelas kenyataan SKMM lagi, sebanyak 2,051 premis lagi masih dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap pada Mac 2022.

“Peluasan perkhidmatan jalur lebar talian tetap ini melibatkan kawasan perumahan, komersial, industri dan institusi kerajaan.

“Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan jalur lebar mudah alih di Bahagian Tawau, sebanyak 467 stesen pemancar sedia ada siap dinaik taraf kepada teknologi 4G, manakala sebanyak 415 lagi stesen pemancar sedang giat dinaik taraf secara berperingkat dan dijangka siap dan boleh dinikmati penduduk setempat pada Mac 2022,” katanya.

Selain itu, jelasnya terdapat 21 lokasi Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Melalui Satelit (VSAT) turut diwujudkan di Bahagian Tawau, iaitu lapan di daerah Tawau, Semporna (dua), Kunak (tiga) dan lapan lagi di Lahad Datu.

Katanya, perkhidmatan itu yang dijangka siap dilaksanakan menjelang Januari 2022 akan berfungsi sebagai penyelesaian cepat kepada masalah kesaling hubungan sehingga penyelesaian yang kekal dilaksanakan.

“Penduduk di setiap lokasi akan berpeluang menikmati perkhidmatan WiFi berkualiti tinggi secara percuma. Menerusi pelaksanaan inisiatif berkenaan, ia bakal mengubah kehidupan penduduk di Bahagian Tawau selain memastikan penduduk dapat meningkatkan kemahiran dalam berhadapan dengan era digital yang pesat berkembang.

“Bagi penduduk di Bahagian Tawau dan kawasan sekitarnya yang ingin mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di tempat tinggal mereka atau membuat aduan kepada pihak penyedia perkhidmatan boleh berbuat demikian dengan melayari JENDELA Map di pautan https://jendela.my.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|