Tawau: Tahanan terakhir yang diburu polis selepas melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Dewan Arena Tawau, di sini, berjaya diberkas semula, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek Jimnajir Annor, 23, berjaya ditahan pada jam 1.30 petang.
Katanya, selepas dua hari meloloskan diri dari pusat berkenaan ketiga-tiga suspek ditahan semula menerusi Op Kesan dan Op Tutup yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.
“Suspek terakhir berjaya ditahan di Batu 15 Jalan Apas, selepas operasi memburu suspek dilancarkan dua hari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sebelum ini, dua lagi suspek yang melarikan diri, Niko Matheus, 25, dan Hasyim Muhamad Syata, 34, ditahan polis di dua lokasi berasingan di daerah ini, Isnin lalu.
Ketiga-tiga suspek ditempatkan di PKRC itu selepas dijangkiti Covid-19 namun bertindak meloloskan diri melalui tingkap tandas pada jam 12.30 tengah malam Ahad.
-Deasoka