Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Covid-19 Sabah: Kes naik semula hari ini

Kota Kinabalu: Kes Covid-19 di Sabah meningkat semula kepada 2,107 kes hari ini selepas mencatat kes di bawah 2,000 semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata ia membabitkan peningkatan sebanyak 263 kes daripada 1,844 kes semalam.

“Kes naik semula melepasi angka 2,000 kepada 2,107 iaitu bertambah sebanyak 263 kes setelah turun tiga hari berturut-turut.

“Walaupun kes di Kota Kinabalu turun 61 tetapi kes di kawasan perbandaran lain seperti Sandakan, Penampang dan Keningau naik.

“Beberapa daerah lain juga mencatat pertambahan kes seperi Kinabatangan yang mencatat 47 kes baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, daripada 2,107 kes hari ini, sebanyak 788 kes atau 37.4 peratus adalah kes lewat didaftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan.

Selebihnya, beliau berkata, 128 kes atau 6.1 peratus adalah kes lewat didaftar antara empat hingga lima hari dan 172 kes atau 8.2 peratus adalah kes lewat didaftar melebihi lima hari.

“Saringan kontak rapat kekal sebagai penyumbang utama kes harian dengan 1,141 kes atau 54.2 peratus daripada 2,107 kes hari ini, diikuti 740 kes atau 35.1 peratus melalui saringan bergejala, menunjukkan peratusan yang agak tinggi berbanding semalam dan 36 kes atau 1.7 peratus melalui saringan kluster.

“Di Kota Kinabalu, 40.1 peratus daripada kes di daerah ini berpunca daripada saringan bergejala, manakala Sandakan (41.2 peratus), Tawau (41.4 peratus) dan Penampang (52.7 peratus),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|