Taman Prince Philip, Pantai Tanjung Aru dikekalkan

Taman Prince Philip, Pantai Tanjung Aru dikekalkan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri hari ini memutuskan untuk mengekalkan Taman Prince Philip dan Pantai Tanjung Aru yang terkandung dalam kawasan pelaksanaan projek Tanjung Aru Eco Development (TAED).

Ketika memberi jaminan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedua-dua lokasi rekreasi popular di bandar raya Kota Kinabalu itu akan dinaik taraf dan diperindahkan untuk kegunaan awam.

Katanya, langkah itu sejajar dengan keputusan untuk mengkaji semula dan mengecilkan skala projek TAED dengan menggabungkan ciri berpusatkan rakyat bagi menyediakan lebih banyak akses dan ruang untuk orang ramai.

“Lokasi ikonik Pantai Tanjung Aru dan Taman Prince Philip akan dikekalkan, dinaik taraf dan dicantikkan lagi supaya orang ramai di negeri ini dapat terus berkunjung dan menikmati kemudahan berkenaan.

“Pembangunan baharu akan memastikan TAED dilaksanakan secara lestari dan mengambil kira inisiatif hijau,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah TAED di Menara Kinabalu, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri turut memutuskan tidak akan ada sebarang kos kepada kerajaan, manakala semua projek TAED bukan saja menguntungkan dari segi ekonomi, kewangan dan sosial, malah dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.

“Kita mesti ingat bahawa di samping keuntungan kewangan, pulangan sosial dan ekonomi juga tidak kurang penting. Ini termasuk peluang pekerjaan dan ekonomi yang akan diwujudkan menerusi TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa syarikat sudah menyatakan minat dalam projek itu, antaranya syarikat berkaitan kerajaan China, iaitu China Railway Construction Company International Investment Group Ltd melalui syarikat usahasama tempatan, Mesra Melia Sdn Bhd.

Katanya, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September tahun lalu, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memutuskan projek TAED diteruskan selepas dikaji semula untuk mengecilkan skala pembangunannya.

Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan untuk tidak memasukkan dua sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II sebagai sebahagian daripada kawasan projek pembangunan berkenaan.

Berdasarkan Pelan Induk Pembangunan sebelum ini, kedua-dua sekolah itu dicadang dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan membabitkan pengambilan tanah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|