Pesakit Covid-19 diburu

Pesakit Covid-19 diburu

Lahad Datu: Polis melancarkan gerakan memburu seorang lelaki yang disahkan positif Covid-19 yang melarikan diri dari Hospital Lahad Datu, semalam.

Suspek, Firdaus Abdul Halim, 30, disedari melarikan diri pada jam 8.07 malam ketika proses dokumentasi dilakukan oleh pihak hospital.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, suspek dihantar ke Jabatan Kecemasan Hospital Lahad Datu selepas mengadu demam dan hilang deria rasa.

Katanya, suspek dibawa ke hospital untuk menjalani ujian calitan RTK Covid-19 sebelum disahkan didapati positif Covid-19.

“Semasa proses dokumentasi dijalankan oleh kakitangan Hospital Lahad Datu, suspek dikesan melarikan diri.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat oleh pegawai perubatan hospital untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menyalurkan kepada polis.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek diminta tampil menyalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu atau balai polis berhampiran,” katanya.

Rohan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

“Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 22(B) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang membawa kepada penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|