16,000 dos vaksin CanSino dibekal ke Semporna

16,000 dos vaksin CanSino dibekal ke Semporna

Semporna: Sebanyak 16,000 vaksin dos tunggal CanSino sudah dibekalkan untuk melaksanakan program jangkauan luar imunisasi Covid-19 di daerah ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 3,000 daripada jumlah itu sudah diberikan kepada penerima vaksin, manakala 1,000 dos lagi diberikan hari ini menerusi program jangkauan luar di Pulau Larapan.

Beliau berkata, vaksin CanSino sesuai diberikan kepada penduduk di kawasan pedalaman dan pulau seperti di daerah ini kerana hanya memerlukan satu dos suntikan.

“Vaksin jenis CanSino, Khairy mudah digunakan dan dikendalikan berbanding Pfizer kerana hanya memerlukan satu dos.

“Jadi, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau tidak susah datang untuk mengambil dos kedua selepas menerima vaksin ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau program jangkauan luar vaksinasi Covid-19 di Pulau Larapan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Khairy berkata, Sabah akan diberikan keutamaan untuk dibekalkan dengan vaksin CanSino selepas bekalan seterusnya tiba di negara ini.

Sementara itu, katanya pemerhatiannya sepanjang menyertai program jangkauan luar vaksinasi itu, mendapati tahap kesedaran orang ramai mengenai vaksin Covid-19 semakin baik.

“Saya tanya mereka yang hadir, mereka tahu dan sedar vaksin ini untuk memastikan mereka dan keluarga selamat daripada virus, malah penduduk yang hadir ada yang datang dari pulau lain.

“Mereka mendapat maklumat daripada ‘group Whatsapp’ dan ketua masyarakat, jadi ini menunjukkan tahap penyampaian kita sudah bertambah baik selain membuktikan bahawa orang ramai di pedalaman dan pulau mulai sedar betapa penting mendapatkan vaksin,” katanya.

Usaha mempergiat program vaksinasi termasuk melalui jangkauan luar di Sabah itu, katanya sejajar dengan misi mencapai sasaran 60 peratus penduduk dewasa negeri ini lengkap vaksin pada akhir bulan ini dan 80 peratus pada bulan depan.

Katanya, sambutan baik penduduk terhadap pelaksanaan program jangkauan luar seperti di Pulau Larapan meyakinkan kerajaan bahawa sasaran imuniti kelompok di Sabah mampu dicapai seperti ditetapkan.

“Seperti hari ini bagi kawasan Pulau Larapan, program jangkauan luar yang diadakan di dewan terbuka Sekolah Kebangsaan (SK) Larapan mendapat sambutan yang amat baik daripada penduduk sekitar termasuk dari pulau berdekatan yang mana sebanyak 1,000 dos vaksin CanSino disediakan dalam program ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|