Bung Moktar serah kit ujian galak kakitangan buat saringan Covid-19

Bung Moktar serah kit ujian galak kakitangan buat saringan Covid-19

Kota Kinabalu: Kakitangan yang hadir bertugas di semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya negeri digalak melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum datang ke pejabat.

Bagi memudahkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam menyerahkan sumbangan kit ujian kendiri RTK kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian itu.

Katanya, inisiatif itu bagi memastikan tempat kerja semua jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan bebas daripada jangkitan Covid-19.

“Sumbangan ini untuk memberikan kemudahan kepada kakitangan membuat ujian saringan sendiri sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan mereka sihat dan bebas daripada jangkitan virus Covid-19 sebelum hadir dan menjalankan tugas di pejabat,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan kit ujian kepada ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya itu turut dihadiri Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya negeri, Mohd Jasmin Juplin.

Mengulas lanjut, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata ujian kendiri juga boleh memberi keyakinan kepada kakitangan bahawa mereka bebas daripada jangkitan Covid-19, sekali gus dapat meningkatkan kehadiran kakitangan ke pejabat untuk bertugas.

“Jika sebelum ini kita hanya membenarkan 30 peratus kakitangan hadir ke pejabat secara bergilir-gilir, mungkin selepas melakukan ujian kendiri, jumlah kehadiran kakitangan dapat ditingkatkan bagi menggalakkan produktiviti tugas seharian di pejabat,” katanya.

Sementara itu, mengulas isu pemberian vaksin Covid-19 yang masih rendah di negeri ini berbanding di negeri lain, Bung Moktar berkata beliau yakin vaksinasi di negeri ini mampu mencapai lebih daripada sasaran 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan tumpuan membantu Sabah mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini seperrti diumumkan menterinya, Khairy Jamaluddin, semalam.

Khairy, pada sidang medianya semalam menyatakan sekali lagi komitmen kerajaan Pusat menghantar 2.89 juta dos vaksin pada bulan ini ke Sabah bagi membantu kerajaan negeri meningkatkan kadar vaksinasi harian.

Selain itu, Khairy turut memaklumkan penghantaran peralatan perubatan tambahan ke Sabah antaranya 480 unit silinder oksigen, 24 buah kotak ‘oxygen regulator, lima buah kotak ubat-ubatan Covid-19 yang sudahpun tiba hari ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|