Penampang: Dua pesara polis menerima sumbangan bakul makanan dalam Program Ziarah Kasih sempena Semarak Hari Malaysia, hari ini.
Program hasil inisiatif Ibu Pejabat Polis (IPD) Penampang itu dijalankan sebagai tanda penghargaan kepada jasa dan pengorbanan bekas anggota pasukan pihak berkuasa.
Dua bekas anggota polis yang menerima sumbangan ialah Sub-Inspektor (b) Wazir Ansunggan, 84, dan Sarjan Amra, Yassin Anggun berumur 78 tahun.
Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ziarah kasih yang dijalankan adalah bagi merapatkan kembali silaturahim.
Katanya, ia juga diadakan bagi membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.
“Hari ini kita turun padang menyantuni pesara-pesara yang mungkin terkesan akibat Covid-19
“Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan lagi silaturahim antara polis yang masih berkhidmat dengan pesara-pesara polis yang banyak berjasa dalam pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berkenaan, hari ini.
Mohd Haris berkata, semua pihak seharusnya menghargai pengorbanan mereka sepanjang perkhidmatan dalam pasukan polis.
“Oleh kita seharusnya menghargai dan membantu mereka tatkala sudah bersara dan apatah lagi dalam keadaan kurang sihat.
“Mudah-mudahan kali ini, kita dapat mengeratkan silaturahim serta dapat menyampaikan bantuan bagi meringankan beban yang mereka alami,” katanya.
-Deasoka