Suspek ugut isteri ditahan

Suspek ugut isteri ditahan

Beaufort: Seorang lelaki yang diburu polis selepas didakwa memukul dan mengugut isteri menggunakan parang ditahan, hari ini.

Suspek berusia 63 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Kampung Kilugus, Menumbok, di sini, jam 5 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, berdasarkan pengakuannya, suspek tidak mengaku ada mengugut isterinya menggunakan parang.

Katanya, suspek sebaliknya mendakwa hanya memukul isteri di kaki menggunakan tangan kerana mangsa tidak mahu mendengar kata-katanya supaya menegur anak mereka yang dikatakan kurang ajar.

“Hasil siasatan awal, punca kejadian dipercayai kerana suspek cemburu terhadap anak lelaki mereka sekiranya isterinya membersihkan bilik anak.

“Selain itu, suspek turut menuduh isterinya mempunyai hubungan dengan ketua kampung kerana pernah membantu mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keselsaan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 506 akta sama kerana melakukan ugutan jenayah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian Khamis lalu, suspek dikatakan bukan saja mengugut menggunakan parang malah bertindak menumbuk isterinya kerana cemburu dalam kejadian di rumah mereka di Kampung Siaun, Menumbok, di sini.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, suspek berusia 60 tahun itu dikatakan bertindak demikian kerana mempercayai isterinya mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|