IPD Sandakan jadi kluster baharu Covid-19

IPD Sandakan jadi kluster baharu Covid-19

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menjadi kluster baharu jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di Sabah, hari ini setelah seorang tahanan (OKT) dikesan positif selepas menjalani saringan pada 5 Ogos lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata berikutan itu, seramai empat anggota polis dan 35 OKT dikesan positif COVID-19 melalui saringan kontak yang dijalankan selepas itu.

Katanya, sehingga kini Kluster Lebuh Empat itu mencatat sebanyak 50 kes kumulatif, termasuk 39 kes baharu hari ini daripada 122 sampel yang diambil untuk ujian saringan.

“Kluster Lebuh Empat, Sandakan membabitkan anggota IPD Sandakan dan OKT di Lokap IPD Sandakan. Kes indeks adalah OKT lelaki berumur 63 tahun yang disahkan positif COVID-19 melalui saringan OKT dan didaftarkan pada 5 Ogos lalu.

“Saringan kontak kemudian dijalankan dengan mengambil 122 sampel. Daripada jumlah itu, sebanyak 50 sampel dikesan positif, termasuk 39 kes baharu hari ini iaitu 35 OKT dan empat anggota IPD Sandakan, manakala baki 71 sampel didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Dalam pada itu, katanya satu lagi kluster dilaporkan di Sabah hari ini berkaitan komuniti di daerah Nabawan yang dinamakan Kluster Sarikan yang tercetus selepas seorang lelaki berumur 34 tahun dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 3 Ogos lalu.

“Kes indeks itu dilaporkan bergejala demam, sakit tekak, selesema, batuk, hilang deria rasa dan bau sejak 27 Julai lalu.

“Daripada 48 kontak yang disaring, seramai 14 individu dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini dan sudah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut serta pengasingan, manakala 34 individu lagi masih menunggu keputusan saringan pertama,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini merekodkan sebanyak 1,255 kes baharu dengan dua kluster baharu dan 13 kematian, iaitu enam kematian di Kota Kinabalu, diikuti Tawau (tiga), Sandakan (dua) dan masing-masing satu kematian di Semporna serta Sipitang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|