Laksanakan gencatan politik di Sabah

Laksanakan gencatan politik di Sabah

Kota Kinabalu: Wakil rakyat dan ahli politik di Sabah perlu melaksanakan gencatan politik bagi memastikan kemelut politik yang menimbulkan suasana tidak stabil seperti yang berlaku dalam kerajaan persekutuan ketika ini tidak menular ke negeri ini.

Penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata langkah itu penting bagi mengelak perbalahan dalam kalangan wakil rakyat dan ahli politik yang sekali lagi menjerumuskan Sabah dalam kemelut politik hingga menjejaskan usaha lain yang lebih penting kepada rakyat dan negeri.

Jelasnya, kegagalan melaksanakan gencatan politik juga boleh menjejaskan usaha memerangi Covid-19 yang seharusnya diberi tumpuan penuh kerana masa yang ada lebih banyak ditumpukan kepada soal politik dan hal lain yang berkaitan dengan kepentingan parti.

“Semua ahli politik di Sabah perlu mengadakan gencatan atau moratorium politik. Ini perlu kerana tanpa gencatan politik perkara lain yang mahu dilaksanakan tidak mungkin dapat untuk dijayakan kerana masih ada perbalahan dalam kalangan wakil rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai langkah yang sesuai digunakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memanfaatkan autonomi Sabah bagi mengekang penularan kemelut di Kuala Lumpur dalam situasi Covid-19 yang masih berleluasa.

Menyentuh mengenai soal autonomi, Romzi menekankan perlunya aspek itu diperkasa atau dimartabatkan ke tahap yang lebih jelas dan dilihat benar-benar wujud serta mampu dilaksanakan tanpa campur tangan persekutuan khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan kepentingan negeri.

Katanya, ia termasuk mewujudkan dokumen rasmi atau undang-undang di peringkat negeri yang boleh mengekang kemelut politik di Semenanjung daripada menular ke Sabah dan dapat menghalang wakil rakyat melakukan perkara yang menjejaskan usaha kerajaan khususnya dalam menangani Covid-19.

“Penekanan perlu diberikan terhadap keperluan untuk memartabatkan autonomi melalui dokumen rasmi yang boleh menyebabkan wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen dikenakan tindakan undang-undang yang tegas iaitu pemecatan atau pengosongan kerusi.

“Dokumen ini perlu ada dan perlu difikirkan oleh kerajaan supaya disahkan di sisi perundangan. Alasan bagi pengwujudan dokumen kuat seperti ini ialah bagi memberi ruang yanhmg seluas-luasnya kepada usaha untuk menangani Covid-19,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan juga boleh mengambil inisiatif mewujudkan mekanisme kerjasama politik merentasi parti dan sentimen dalam kalangan semua wakil rakyat di Sabah.

Romzi bagaimanapun menegaskan, usaha memartabat autonomi melalui pembentukan dokumen rasmi atau undang-undang khusus dan kerjasama politik merentasi parti tidak mungkin dapat dilaksanakan jika gencatan atau moratorium politik tidak dilaksanakan terlebih dahulu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|