Suspek Rempuh bot sudah dikenalpasti

Suspek Rempuh bot sudah dikenalpasti

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sudah mengenal pasti suspek rempuh bot sehingga mengakibatkan satu kematian, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, suspek dikenali sebagai Adam Kamlum atau nama panggilannya Haji.

Katanya, suspek berusia 30-an itu dipercayai tinggal di Kampung Selangan, Lok Urai, Pulau Gaya.

“Setakat ini, suspek tidak lagi kelihatan di kampung berkenaan dipercayai cuba menyembunyikan diri.

“Usaha memburu suspek akan dijalankan dan setakat ini polis percaya dia masih berada di kawasan sekitar Pulau Gaya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat juga diminta tampil untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi tadi, seorang lelaki yang dikenali sebagai Abdul Hasyim Onong, 35, maut manakala seorang lagi mangsa Edhar Ahali, 35, cedera selepas bot dinaiki mereka dirempuh suspek.

Sebaik merempuh bot mangsa, suspek dikatakan terus meninggalkan tempat kejadian dan kedua-dua mangsa pula terpaksa berpaut pada serpihan bot lebih tiga jam sebelum diselamatkan nelayan lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu dengan gopoh dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|