Food bank dibuka di Balai Tanjung Aru, Inanam

Food bank dibuka di Balai Tanjung Aru, Inanam

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu akan mewujudkan ‘food bank’ di dua balai untuk membantu mereka yang memerlukan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, dua balai berkenaan adalah Balai Polis Tanjung Aru dan Balai Polis Inanam.

Katanya, food bank itu akan membekalkan barangan keperluan harian kepada penduduk sekitar yang mengalami masalah terputus bekalan makanan.

“Mana-mana pihak yang memerlukan bantuan bekalan makanan bolehlah mengambil barangan yang disediakan di Food Bank berkenaan.

“Inisiatif ini juga akan dilakukan di tujuh balai polis lain di daerah ini dari semasa ke semasa,”
katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan 30 bakul makanan kepada penduduk di sekitar Tanjung Aru pada program Op Bantu Ziarah Qaseh, IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, usaha itu diambil bagi membolehkan pihaknya membantu mereka yang memerlukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

Katanya, IPD Kota Kinabalu juga akan terus mengagihkan bantuan bakul makanan itu selepas diberi sebanyak 300 bakul makanan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ada juga badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyalurkan bantuan sebanyak 200 bakul makanan menjumlahkan 500 bakul keseluruhan.

“IPD Kota Kinabalu menjadi pengantara yang akan menyampaikan bakul makanan terbabit kepada penduduk memerlukan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, mana-mana NGO lain atau individu yang mahu menyalurkan bantuan agar tampil membantu mengurangkan beban masyarakat yang terputus bekalan makanan sepanjang tempoh pandemik ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|