51 menara telekomunikasi 4G disiapkan melalui Pelan JENDELA di Sabah

51 menara telekomunikasi 4G disiapkan melalui Pelan JENDELA di Sabah

Tuaran: Sebanyak 51 daripada 534 menara baharu telekomunikasi 4G yang disenaraikan untuk dibina melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah sudah disiapkan setakat 30 Jun lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata sebanyak 1,850 stesen pemancar juga sudah dinaik taraf, manakala 60,337 premis di seluruh Sabah disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.

Katanya, inisiatif JENDELA untuk merapatkan jurang digital bagi penduduk bandar dan luar bandar serta pedalaman di Sabah membabitkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.5 billion dengan pelaksanaannya berterusan hingga tahun depan.

“Peruntukan ini membabitkan pembinaan 534 menara baharu 4G, 3,374 stesen pemancar akan dinaik taraf dan 251,165 premis akan disediakan dengan infrastruktur jalur lebar talian tetap.

“Usaha ini akan dapat meningkatkan taraf hidup dan ekonomi digital serta mempermudahkan urusan atas talian seperti pembelajaran dan perdagangan,” katanya dalam kenyataan selepas meninjau menara baharu telekomunikasi 4G di Kampung Rungus Nahaba, di sini.

Menara berkenaan yang mula beroperasi pada 1 Jun lalu adalah antara 51 menara baharu yang sudah disiapkan di bawah inisiatif JENDELA di Sabah, setakat ini dan memberi manfaat kepada kira-kira 250 penduduk Kampung Rungus Nahaba.

Kemudahan itu, katanya turut memudahkan guru, murid dan pelajar di kampung berkenaan mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian menggunakan jaringan perkhidmatan telekomunikasi 4G yang lebih baik.

“Dengan adanya menara telekomunikasi di Kampung Rungus Nahaba ini juga, ia akan dapat melonjakkan taraf hidup dan memudahkan penduduk setempat untuk melaksanakan pelbagai urusan harian yang memerlukan kemudahan capaian internet.

“Selain itu, kesalinghubungan internet yang lebih baik juga akan membantu memperbaiki sosio ekonomi penduduk di kawasan ini melalui pelbagai aktiviti ekonomi yang boleh dilakukan secara dalam talian,” katanya.

Sementara itu, Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, berkata sebanyak 781 points of presence (PoP) juga akan disediakan berhampiran kawasan sekolah bagi mengukuhkan penerimaan perkhidmatan jalur lebar.

Penyediaan PoP, katanya membolehkan premis kerajaan, kawasan perumahan dan bangunan komersial yang berdekatan mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar.

“Ini akan dapat menggalakkan lebih banyak aktiviti dalam talian di kawasan luar bandar. PoP juga akan disediakan di beberapa kawasan perindustrian di Sabah.

“Antaranya ialah kawasan perindustrian Kastam Baru, kawasan perindustrian Keningau, kawasan perindustrian
POIC Sandakan, KKIP Kota Kinabalu, SEDCO IP Inanam dan POIC Lahad Datu Fasa 1 dan 2.

“Kemudahan itu juga akan dipasang di kawasan Rancha-Rancha Industrial Park dan Kiamsam Industrial Park di Labuan. Penyediaan PoP yang dilaksanakan di bawah peruntukan kerajaan sedang dalam proses tender secara berperingkat oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|