Dua sahabat tokan dadah tidak serik, ditahan lagi

Dua sahabat tokan dadah tidak serik, ditahan lagi

Tuaran: Walaupun sudah lapan dan tiga kali ditahan polis atas kesalahan dadah, dua sahabat dipercayai tokan tetap tidak serik meneruskan kegiatannya itu.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 40 tahun ditahan sekali lagi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sekatan jalan raya di Kilometer 25 Jalan Kota Kinabalu – Tuaran, 6.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kejayaan tangkapan ini hasil maklumat risikan yang dijalankan berdasarkan maklumat awam yang diperolehi.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan selepas disyaki mengedar dadah hasil rampasan dadah jenis syabu seberat 62.61 gram.

Sidang media di IPD Tuaran.

“Semakan rekod kesalahan lampau mendapati kedua-dua suspek mempunyai lapan dan tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Ketika kejadian juga didapati kedua-dua suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen rentas daerah yang dibenarkan dan kompaun dikeluarkan ke atas suspek kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 17(1) PPPPB (LLDKTJ) 2021,” katanya dalam sidang media di IPD Tuaran, di sini, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, jumlah dadah syabu yang dirampas bernilai RM6,261 dan dipercayai adalah untuk penggunaan anggaran lebih 310 penagih.

“Siasatan lanjut akan dijalankan ke atas kedua-dua tangkapan ini bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan ke atas sindiket pengedaran dadah yang wujud di kawasan ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Hamizi Halim berkata, pihaknya memandang serius berkenaan kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini.

Katanya, operasi seperti ini akan dipergiatkan lagi bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkaitan dadah berlaku di daerah ini.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menjadikan dadah sebagai sumber pendapatan dan penggunaannya juga adalah dilarang.

“Sekirannya ditangkap tindak tegas akan diambil ke atas mereka kerana PDRM tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang tidak mematuhi undang-undang berkaitan dadah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|