2 Ahli Parlimen BN dari Sabah sokong kerajaan PN

2 Ahli Parlimen BN dari Sabah sokong kerajaan PN

Kuala Lumpur: Dua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sabah adalah antara 31 Ahli Parlimen BN dari seluruh negara menyatakan pendirian terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga keabsahan PN ditentukan melalui undi percaya di Parlimen bulan depan.

Mereka ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Perkara itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media khas Ahli Parlimen UMNO dan BN mengenai pendirian mereka berikutan kemelut politik yang membabitkan UMNO, hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri seramai 21 Ahli Parlimen UMNO dan parti komponen BN yang lain termasuk Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan.

Mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan PN berdasarkan keputusan Majlis Tertinggi BN pada tahun lalu yang membuat pendirian untuk menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ismail berkata, seorang lagi Ahli Parlimen BN dari Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, belum sempat dihubungi untuk mendapatkan pendirian beliau.

“Beliau sudah balik Sabah, jadi tak sempat dihubungi, namun kita akan hubungi mereka semula untuk menyatakan pendirian mengenai sokongan mereka,” katanya.

Katanya, Arthur yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang tidak hadir pada sidang media itu sudah menyatakan pendirian kepadanya untuk terus menyokong PN.

“Arthur pun sudah balik ke Sabah tetapi beliau sudah menyatakan pendirian menyokong PN. Begitu juga Kimanis (Mohamad), dia kata tak sempat datang untuk bersama dalam sidang media ini kerana sudah balik ke Sabah,” katanya.

Sementara itu, turut bersama dalam senarai 31 Ahli Parlimen UMNO dan BN yang menyertai Ismail Sabri menyokong kerajaan PN turut ialah Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican.

Nama lain yang turut tersenarai ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Setakat ini, hanya seorang menteri mewakili UMNO meletak jawatan daripada Kabinet kerajaan PN, iaitu Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Ismail Sabri berkata, seorang lagi menteri mewakili UMNO iaitu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad juga belum menyatakan pendirian kerana masih berserabut dengan perkembangan semasa politik yang membabitkan parti beliau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|