Suspek kes samun akhirnya dicekup

Suspek kes samun akhirnya dicekup

Semporna: Suspek kes samun membabitkan seorang wanita di Jalan Kuala Bebang, di sini, 29 Julai lalu berjaya ditahan polis, semalam.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan pada jam 11.50 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Abdullah berkata, susulan daripada laporan polis yang dibuat mangsa, siasatan segera dijalankan dan berjaya mengesan suspek yang terbabit.

Katanya, ketika ditahan, polis turut merampas sebuah motosikal jenis SYM warna biru putih, dua topi keledar dan kunci motosikal yang dipercayai digunakan suspek semasa melakukan jenayah.

“Dalam kejadian itu, mangsa menyatakan bersama-sama suspek menaiki sebuah motosikal menuju ke Jalan Kuala Bebang untuk berjumpa rakan suspek.

“Namun, semasa dalam perjalanan, suspek yang baru dikenali mangsa memberhentikan motosikal dan bertindak menyerang mangsa dengan menggunakan topi keledar sebelum bertindak melarikan barang peribadi mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Farhan berkata, suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan memecut laju motosikalnya dan meninggalkan mangsa yang terbaring di atas jalan.

Katanya, siasatan awal, suspek yang juga warganegara Filipina mengaku memukul mangsa di muka dan badan menggunakan topi keledar sebelum bertindak melarikan beberapa barang peribadi miliki mangsa.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 4 Ogos bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis amat menghargai maklumat daripada orang awam sehingga tertangkapnya suspek dalam kes ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|