186 individu sudah divaksin turut dijangkiti

186 individu sudah divaksin turut dijangkiti

Kota Kinabalu: Sebanyak 186 daripada 949 kes baharu yang dicatatkan di Sabah, hari ini, adalah terdiri daripada mereka yang sudah menerima vaksin.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, seramai 102 orang daripada jumlah itu menerima vaksin dos pertama manakala 84 orang lagi menerima dos kedua.

”Sementara itu, sebanyak 523 kes baharu yang dicatatkan hari ini adalah daripada mereka yang belum menerima vaksin manakala 240 lagi belum layak untuk menerima vaksin,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, sebanyak 635 daripada kes baharu yang dicatatkan itu adalah dari kalangan mereka yang berusia 18 hingga 59 tahun manakala sebanyak 175 kes membabitkan individu berusia antara 6 hingga 17 tahun.

Selain itu, katanya, sebanyak 74 kes baharu membabitkan individu berusia 60 tahun ke atas manakala lapan lagi kes membabitkan kanak-kanak berusia 8 tahun ke bawah.

”Daripada jumlah kes baharu hari ini juga, sebanuak 805 kes membabitkan warganegara manakala selebihnya iaitu 144 adalah dari kalangan bukan warganegara.

”Sementara itu, 27 daripada kes baharu adalah jangkitan dalam kalangan orang dalam tahanan atau banduan, lima kes import iaitu jangkitan daripada luar Sabah dan yang selebihnya jangkitan dalam kalangan warga tempatan.

”Jangkitan daripada luar Sabah terbabit adalah masing-masing satu kes daripada Selangor, Sarawak dan Pahang manakala dua kes daripada Kelantan,” katanya.

Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|