Kota Kinabalu: Penukaran pimpinan kerajaan bukan penyelesaian kepada masalah pandemik Covid-19 sebaliknya ia hanya tindakan yang membuang masa.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata, apa yang perlu dilakukan ketika ini adalah menumpukan kepada usaha bagaimana menanggani penularan wabak Covid-19.
Katanya, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu memberikan sepenuh perhatian untuk menyelesaikan masalah Covid-19 di negeri ini.
“Ini bukan masanya untuk mengubah kerajaan tetapi sebaliknya kita perlu memastikan penyebaran Covid-19 dapat dihentikan.
“Sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada menukar kerajaan pemerintah ia akan membawa perkara yang lebih buruk,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Joachim yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, mandat sudah diberikan kepada GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Oleh itu katanya, ia menjadi tugas kepada pemimpin GRS untuk menunaikannya harapan rakyat.
“Jangan kita terus bermain politik sebaliknya terus berikan sepenuh tumpuan untuk menyelesaikan masalah Covid-19,” katanya.
Sementara itu, Joachim berkata, kerajaan GRS kini berada di landasan yang tepat untuk menarik pelabur asing dan tempatan ke Sabah.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan pemimpin GRS sudah mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerjasama dalam kerajaan negeri.
-Deasoka