Suspek cuba rempuh polis ditahan

Suspek cuba rempuh polis ditahan

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga asing yang bertindak agresif termasuk hampir merempuh anggota polis ketika cuba melarikan diri dari ditahan di Manggatal, di sini, berjaya ditahan polis.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, polis turut terpaksa melepaskan dua tembakan ke arah tayar kereta Perodua Myvi dipandu suspek berusia 20-an terbabit.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, operasi ‘Op Tapis’ dijalankan selepas pihak ada mengesyaki terdapat kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, ketika cuba ditahan untuk pemeriksaan, suspek enggan memberi kerjasama dan bertindak agresif dengan merempuh kenderaan pasukan beberapa kali.

“Suspek turut cuba melanggar anggota polis dengan cara merempuh dari bahagian hadapan kenderaan namun disempat dielakkan pasukan operasi.

“Pihak Polis kemudiannya melepaskan dua das tembakan ke tayar hadapan kiri dan kanan bagi mempertahankan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, suspek berjaya melarikan diri namun kenderaannya hanya mampu bergerak sejauh 120 meter daripada tempat kejadian sebelum ditahan pasukan polis.

Katanya, pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penemuan dua paket plastik lutsinar setiap satu berisi ketulan hablur kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Anggata berat kasar keseluruhan rampasan dadah adalah sebanyak 100 gram dan suspek terus dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, kejadian berkenaan sempat dirakam oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum tular di laman sosial.

Kejadian itu turut menerima pelbagai komen daripada netizen termasuk ada yang memuji tindakan dan kecekapan polis sehingga dapat memberkas suspek.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|