Tamu dibenar beroperasi semula mulai esok

Tamu dibenar beroperasi semula mulai esok

Kota Kinabalu: Pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam dibenarkan beroperasi semula di semua daerah yang sudah mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin bermula esok.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko dan kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Jelasnya, semua yang datang ke tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam, termasuk peniaga dan pengunjung juga mesti terdiri daripada mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.

“Penjaja, operator dan pengunjung hendaklah telah lengkap vaksin,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Pasar tamu, pasar tani, pasar minggu dan pasar malam tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kira-kira enam bulan lalu, malah di sesetengah daerah operasi pasar berkenaan dihentikan sejak PKP 1.0 lebih setahun yang lalu lagi.

Berdasarkan peralihan daerah ke sistem kawalan pergerakan mengikut zon bermula 1 Oktober lalu, sebanyak sembilan daerah dikenal pasti belum mencapai 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Daerah terbabit ialah Papar, Tongod, Telupid, Sandakan, Kinabatangan, Semporna, Tawau, Kalabakan dan Nabawan.

Sementara itu, Masidi berkata mulai esok juga kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun dibenarkan makan di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk pusat beli belah, hotel, termasuk fasiliti seperti kolam renang, aktiviti perkelahan dan perkhemahan sekiranya ditemani oleh ibu bapa yang sudah lengkap divaksin.

“Remaja berumur 12 hingga 18 tahun yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin juga dibenarkan makan di restoran, masuk ke premis perniagaan termasuk pusat beli belah, hotel (termasuk fasiliti seperti kolam renang), aktiviti perkelahan dan perkhemahan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|