Sabah dan Sarawak perlu wakil yang seimbang dalam Parlimen – Jeffrey

Sabah dan Sarawak perlu wakil yang seimbang dalam Parlimen – Jeffrey

Kota Kinabalu: Jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak perlu ditambah bagi membolehkan kedua-dua negeri mempunyai wakil yang lebih seimbang dengan Semenanjung dalam Parlimen berbanding apa yang ada sekarang.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata perkara itu perlu diberikan perhatian walaupun ia tidak dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) ketika proses pembentukan Malaysia dahulu.

Beliau berkata, pada awal pembentukan Malaysia dahulu, Ahli Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Singapura mewakili kira-kira 35 peratus daripada jumlah Ahli Parlimen pada ketika itu.

“Selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965 dan keadaan politik pada 1970-an dan 1980-an, kerusi Parlimen di Tanah Melayu meningkat lebih banyak.

“Pada masa sama, bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak tidak menunjukkan peningkatan yang seimbang malah nisbahnya berbanding Semenanjung menurun kepada 25:75 daripada 35:65 sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, malam ini, selepas menghadiri mesyuarat kedua Jawatankuasa Kerja Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diadakan secara dalam talian hari ini.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri, berkata dengan jumlah perwakilan dalam Parlimen itu, Ahli Parlimen dari Semenanjung dengan mudah boleh meluluskan apa-apa rang undang-undang dengan majoriti dua pertiga walaupun semua Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak menentang.

Selain isu itu, Jeffrey turut menekankan perlunya pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan bagi menyatakan dengan jelas tiga rakan yang membentuk persekutuan.

Katanya, ia penting bagi menggambarkan semangat sebenar MA63 seperti yang dinyatakan dalam pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963.

Beliau berkata, ia bermakna perenggan pertama Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan sepatutnya hanya menyebut Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Menyusul selepas itu barulah dinyatakan senarai negeri di Tanah Melayu, lima residensi di Sabah dan enam bahagian di Sarawak,” katanya.

Jelas Jeffrey, pembahagian Sabah dan Sarawak secara teratur itu bakal membawa pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan agihan dana pembangunan yang lebih seimbang.

Katanya, sistem residensi dilaksanakan ketika era kolonial yang mana Sabah atau ketika itu dikenali sebagai Borneo Utara dibahagikan kepada Residensi Tawau atau Pantai Timur, Sandakan, Pantai Barat, Kudat dan Pedalaman.

Tambahnya, setiap residensi pula dibahagikan kepada unit pentadbiran lebih kecil yang merangkumi daerah dan kampung.

Dua isu itu utama itu katanya perlu diselesaikan segera, di samping isu lain berkaitan MA63 yang turut diberikan perhatian penting.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|