Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah disaran membenarkan rentas negeri ke kawasan yang sudah mencapai 80 peratus penduduk lengkap vaksin bagi membantu mengaktifkan sektor industri, khususnya sektor pelancongan.
Cadangan itu adalah antara dua strategi yang disarankan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkaitan usaha mengaktifkan ekonomi dan mempercepat kadar vaksinasi Covid-19 di Sabah yang kini masih jauh ketinggalan berbanding negeri lain.
Katanya, bagi strategi pertama iaitu kebenaran rentas negeri, beliau memberi contoh, jika Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya sudah mencapai 80 peratus vaksinasi lengkap, kemasukan pelawat rentas negeri boleh dibenarkan bagi menghidupkan aktiviti industri, khususnya pelancongan.
Langkah itu, katanya dapat mengaktifkan semula aktiviti industri dan ekonomi penduduk sekitar sekali gus membantu mengurangkan pengangguran dan keperitan ekonomi rakyat Sabah.
“Strategi kedua, jika statistik vaksinasi lengkap Sabah jauh terkebelakang kerana disebabkan peratusan penduduk Sabah yang tidak mahu divaksinasi atau sikap tidak peduli walaupun mereka mempunyai peluang untuk divaksinasi melalui program ‘outreach’ atau program jangkauan Kementerian Kesihatan, maka kerajaan Sabah perlu mewujudkan ‘sistem penalti atau ganjaran’.
“Salah satunya ialah penerima bantuan kewangan kerajaan negeri mestilah menunjukkan mereka sudah divaksinasi lengkap. Sistem penalti atau ganjaran ini perlu kerana usaha kerajaan untuk merayu rakyat untuk divaksinasi kadang-kadang tidak berkesan dalam situasi-situasi tertentu.
“Sistem penalti atau ganjaran ini sudah digunakan di seluruh dunia. Malah di Malaysia pun sistem ini sudah digunakan. Contohnya, hanya rakyat Malaysia yang ada vaksinasi lengkap dibenarkan untuk keluar makan di restoran, keluar negara dan rentas negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua strategi itu mengambil kira bahawa kebenaran rentas daerah dan pembukaan ekonomi secara menyeluruh hanya dibenarkan apabila peratusan vaksinasi lengkap pada tahap 80 peratus hingga 90 peratus.
Abdul Rahman berkata, berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM), sehingga 10 Oktober 2021, keseluruhan penduduk Sabah sudah mendapat vaksinasi lengkap baru mencapai 48.3 peratus.
“KKM mengunjurkan Sabah hanya akan mencapai 60 peratus vaksinasi lengkap pada 22 Nov 2021 iaitu 42 hari dari sekarang dan 80 peratus vaksinasi lengkap pada 23 April 2022 atau 194 hari dari sekarang.
“Kalau dilihat daripada statistik orang dewasa (18 tahun ke atas) di Sabah, jumlah yang telah divaksinasi lengkap ialah 65.1 peratus. Angka ini diunjurkan meningkat ke 80 peratus pada 29 Disember 2021 atau 79 hari dari sekarang dan 100 peratus pada 6 Jun 2022 iaitu 238 hari dari sekarang,” katanya.
Berdasarkan statistik KKM, katanya Sabah masih kedua tercorot dari segi peratusan lengkap vaksin penduduk keseluruhan dalam kalangan negeri di Malaysia iaitu 48.3 peratus dan paling tercorot bagi kategori penduduk dewasa lengkap vaksin dengan hanya 65.1 peratus setakat ini.
Sehubungan itu, Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Tuaran, menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor supaya meminta agensi kerajaan negeri untuk melihat dan belajar daripada kejayaan KKM terutamanya dari segi pengupayaan dan mempermudahkan program jangkauan luar.
“Sarawak dengan topografi dan geografi yang juga begitu mencabar jauh meninggalkan Sabah dari segi kadar vaksinasi.
“Selain itu, diharapkan Ketua Menteri mempertimbangkan sistem penalti atau ganjaran untuk meningkatkan kepatuhan penduduk Sabah mendapatkan vaksinasi Covid-19,” katanya.
-Deasoka