Covid-19 Sabah: Kes kekal turun bawah 600

Covid-19 Sabah: Kes kekal turun bawah 600

Kota Kinabalu: Sabah mengekalkan ‘trend’ penurunan kes harian Covid-19 di bawah 600 dengan sebanyak 532 kes direkodkan hari ini, berkurang 30 kes berbanding 562 kes semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata tiada daerah yang mencatatkan angka jangkitan baharu melebihi dua angka.

Katanya, hanya daerah Ranau dan Tambunan yang mencatatkan peningkatan kes pada julat dua angka, iaitu meningkat 14 kes kepada 55 kes di Ranau dan bertambah 12 kes berbanding sifar kes semalam di Tambunan.

“Beberapa daerah lain menunjukkan penurunan kes yang agak signifikan iaitu Pitas (-25 kes), Beluran (-19 kes), Beaufort (-14 kes), Papar (-12 kes) dan Lahad Datu (-12 kes).

“Sejumlah 33.27 peratus daripada jumlah jangkitan pada hari ini adalah melalui saringan bergejala, satu petunjuk bahawa kes sporadik menjadi penentu kepada turun naik jumlah kes harian di Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, walaupun jumlah kes harian pada hari ini ialah 532 kes, namun kes sebenar yang berlaku dalam tempoh 24 jam lalu hanya 270 kes atau 50.75 peratus.

Selebihnya, beliau berkata adalah kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih.

“Daripada jumlah kes jangkitan baharu yang direkodkan hari ini, 20.86 peratus adalah daripada Kategori 1 dan 75.56 peratus adalah daripada Kategori 2. Kategori 1 dan Kategori 2 lazimnya hanya memerlukan rawatan pemantauan di rumah atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

“Terdapat 11 kes yang memerlukan rawatan dan penjagaan di hospital, empat kes dalam Kategori 3, lima kes dalam Kategori 4 dan dua kes dalam Kategori 5. Lapan kes lagi masih dalam penilaian dan siasatan lanjut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|