Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah capai 59.67 peratus setakat September

Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah capai 59.67 peratus setakat September

Kota Kinabalu: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah yang setakat ini membabitkan pelaksanaan 12 pakej kerja di seluruh negeri mencatat kemajuan 59.67 peratus sehingga September lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Kurup, berkata selain 12 pakej itu, tiga lagi pakej kerja baharu iaitu di laluan dari Batu 32 Sandakan hingga ke Sungai Baoto sudah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) dan akan dilaksanakan tidak lama lagi dalam tahun ini.

“Satu pakej kerja baharu yang membabitkan laluan dari Serusup ke Pituru pula telah diperuntukkan dalam Rolling Plan 1 (RP1) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja dilaksanakan buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai status projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pada persidangan Dewan Negara, hari ini.

Arthur berkata, semua 16 pakej kerja pembinaan lebuh raya itu yang dilaksanakan ketika ini adalah antara 35 pakej kerja dalam pelaksanaan fasa satu yang membabitkan jarak keseluruhan sepanjang 706 kilometer.

Beliau berkata, selain menjimatkan masa perjalanan dan kos pengangkutan yang akan memberi manfaat kepada 3.9 juta rakyat Sabah, projek Lebuhraya Pan Borneo juga perlu dilihat dari aspek yang lebih luas terutama rantaian nilai yang dihasilkannya.

Katanya, pembinaan lebuh raya itu membuka peluang kepada kontraktor tempatan Sabah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan sama ada sebagai perunding, vendor, pembekal atau kontraktor pembinaan.

“Projek ini akan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai tenaga berkemahiran tinggi dalam kalangan anak tempatan negeri Sabah.

“Ia juga akan merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan di wilayah Koridor Pembangunan Sabah dan ini bertepatan dengan misi dan objektif mempromosikan keseimbangan di antara wilayah dan merentangi ekonomi seimbang di antara bandar dan luar bandar.

“Dalam masa yang sama, penambahbaikan dalam konteks perkhidmatan logistik dapat dipertingkatkan khususnya bagi pelaburan sedia ada yang telah dikenal pasti di bawah Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA),” katanya.

Jelasnya, kerajaan sentiasa prihatin dan komited dalam memastikan kelancaran dan kelangsungan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio ekonomi, perindustrian dan pelaburan di sepanjang jajaran projek itu serta memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|