Sorok rokok seludup dalam rumah sarang burung walit

Sorok rokok seludup dalam rumah sarang burung walit

Lahad Datu: Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu merampas 1,698 karton rokok seludup pelbagai jenis bernilai RM314,879 dalam serbuan di sebuah rumah sarang burung walit di Jalan Payang, di sini, semalam.

Dalam Op Kontraban oleh pasukan khas perisikan Batalion 17 Lahad Datu, kira-kira jam 6.45 petang itu, turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 22 tahun.

Operasi dijalankan atas arahan Pegawai Pemerintan Batalion 17 PGA Lahad Datu, Superintendan Rejab Ahad Ismail.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, berdasarkan maklumat risikan sepasukan Batalion 17 PGA Lahad Datu melakukan serbuan di sebuah rumah sarang burung walit.

Katanya, serbuan berkenaan menahan seorang lelaki warga Indonesia dan hasil pemeriksaan menemui beberapa plastik dan kotak berisi rokok seludup pelbagai jenis.

“Puluhan plastik hitam dan kotak yang berisi 1,698 rokok seludup pelbagai jenis ditemui di rumah sarang burung walit.

“Semua rokok seludup yang dirampas itu bernilai RM314,879,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Abduh berkata, semua rampasan rokok dan tangkapan di bawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Polis menyeru masyarakat supaya memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|