Utamakan penyelesaian Covid-19

Utamakan penyelesaian Covid-19

Kota Kinabalu: Isu pandemik Covid-19 membawa pelbagai kesan yang besar bukan saja kepada kesihatan tetapi juga sekaligus menjejaskan sektor ekonomi di seluruh dunia termasuk negara ini.

Sehubungan itu, apa yang diperlukan ketika ini, kerajaan harus menumpukan sepenuh perhatian terhadap penyelesaian isu Covid-19 berbanding ‘permainan politik’ masa ini.

Rata-rata masyarakat yang ditemui menyuarakan kebimbangan perkembangan politik tanah air yang seakan-akan hanya tertumpu kepada perebutan kuasa politik semata-mata.

Pengusaha bidang automotif, Norzam Robin, 43, berkata, kepentingan perebutan kuasa kerajaan tidak memberi jaminan kepada penyelesaian untuk menghentikan penularan Covid-19.

Katanya, dalam era mencabar ini, semua pihak haris berganding bahu mencari langkah terbaik bukan saja memastikan penularan wabak ini diselesaikan tetapi juga menyediakan kemudahan kesihatan terbaik untuk rakyat.

“Keadaan ini mungkin akan menjadi semakin teruk sekiranya isu politik lebih diutamakan berbanding isu kesihatan.

“Kita berharap pemimpin parti-parti politik menghentikan permainan ini dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap usaha menyelesaikan masalah Covid-19,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Norzam berkata, sekiranya pandemik ini selesai, tidak mustahil ia juga memberi petunjuk terbaik kepada rakyat untuk memilih kerajaan selepas ini.

Seorang lagi ahli perniagaan, Felix Vun, 46, berkata, semua pihak harus menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat dan bukannya bermain politik.

Katanya, dalam era pandemik ini, masyarakat menjadi semakin bosan dengan keutamaan terhadap isu perebutan kuasa politik berbanding nasib rakyat.

“Hentikanlah, rakyat semakin tertekan bukan saja dengan isu kesihatan tetapi juga isu ekonomi akibat pandemik Covid-19 ketika ini,” katanya.

Manakala bagi pekerja swasta, Jack Bryne Felix, 38, berkata, masalah politik yang timbul ketika era pandemik Covid-19 ini boleh diletakkan sebagai kepentingan kedua.

Katanya, sekiranya masalah pandemik ini selesai, ia memberikan ruang yang lebih besar kepada semua pihak untuk menyelesaikan kemelut politik tanah air.

“Beri keutamaan kepada penyelesaian pandemik Covid-19 selepas itu baru selesaikan masalah politik sama ada perlu perubahan kerajaan atau diadakan pilihanraya umum,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|