Covid-19: Kes di Sabah melonjak lagi

Covid-19: Kes di Sabah melonjak lagi

Kota Kinabalu: Sabah sekali lagi merekodkan kes harian Covid-19 tertinggi dengan sebanyak 1,379 kes pada hari ini, mengatasi jumlah tertinggi sebelum ini, 1,291 kes yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata selain saringan kontak rapat yang kekal menjadi penyumbang tertinggi iaitu 752 kes atau 54.5 peratus daripada jumlah harian, saringan kluster sedia ada turut mencatat kenaikan.

Katanya, ia berdasarkan data lapangan yang menunjukkan terdapat kenaikan tinggi kes positif di dua kluster sedia ada iaitu Kluster Gambaron 2 di Telupid dan Kluster Pauh di Kinabatangan.

“Kedua-dua kluster itu hari ini masing-masing mencatat 68 dan 60 kes baharu. Secara keseluruhan saringan kluster menyumbang 172 kes atau12.5 peratus daripada keseluruhan kes hari ini,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 di Sabah, hari ini.

Beliau berkata, saringan bergejala juga kekal sebagai penyumbang kedua tertinggi kes hari ini iaitu sebanyak 265 kes atau 19.2 peratus, manakala saringan bersasar dan lain-lain jenis saringan masing-masing mencatat 99 kes (7.2 peratus) dan 91 kes (6.6 peratus).

Selain itu, katanya terdapat 17 kes lagi yang membabitkan orang kena tahan (OKT), sama ada di penjara atau Pusat Tahanan Sementara (PTS) yang dikendalikan Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata hari ini daerah Kota Kinabalu turut mencatat kenaikan mendadak sebanyak 110 kes kepada 351 kes berbanding 241 kes semalam.

“Hampir 66 peratus kes di Kota Kinabalu adalah kontak rapat. Seramai 83 orang atau 24 peratus lagi dikesan melalui saringan bergejala.

“Daerah Tuaran mencatat pertambahan daripada 143 kes kepada 152 kes, diikuti Tawau daripada 135 kes kepada 160 kes, Penampang (92 kes kepada 113 kes), Putatan (23 kes kepada 64 kes), Telupid (tujuh kes kepada 72 kes termasuk 68 kes daripada Kluster Gambaron 2) dan Kinabatangan (17 kes kepada 61 kes) termasuk 60 kes daripada Kluster Pauh),” katanya.

Beliau berkata, hanya satu daerah iaitu Kuala Penyu tidak mencatat sebarang kes baharu hari ini, manakala enam daerah mencatat kes satu angka, diikuti 16 daerah mencatat kes dua angka dan baki empat daerah mencatat kes tiga angka.

Katanya, kebanyakan peningkatan kes dikesan di kawasan bandar kerana jangkitan mudah berlaku di tempat kerja dan ketika interaksi sosial, kecuali bagi kes kluster yang menyaksikan penularan di kawasan luar bandar.

“Sekali lagi saya menyeru kepada rakyat agar sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) khususnya penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, tidak keluar kecuali perlu dan mengurangkan kegiatan sosial,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata 1,277 daripada 1,379 kes hari ini dikesan berada dalam kategori satu dan dua, manakala dua orang dalam kategori tiga, diikuti tiga orang dalam kategori empat dan dua orang dalam kategori lima.

Katanya, pesakit Covid-19 dalam kategori empat dan lima memerlukan rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU)), manalala sebanyak 95 kes lagi masih dalam siasatan untuk menentukan kategori jangkitan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|