Sembunyi rokok seludup dalam tong ikan

Sembunyi rokok seludup dalam tong ikan

Kota Kinabalu: Taktik sorok rokok seludup dalam tong ikan di belakang pacuan empat roda terbongkar apabila 307,200 batang rokok disyaki tanpa cukai bernilai RM251,904 dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA), di Jalan Merotai, Kalabakan, Tawau, hari ini.

Semua rokok itu dirampas dalam Op Kontraban oleh sepasukan anggota task force perisikan Batalion 14 PGA Tawau, kira-kira jam 7 pagi.

Operasi dijalankan atas arahan Pegawai Pemerintan Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yaakob Murad.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan kemudian dibuat dibahagian ruang belakang yang mana terdapat satu tong ikan besar dan menemui 36 bungkus plastik merah dan 12 bungkus plastik hitam berisi rokok tanpa cukai.

“Pemeriksaan tiga lagi tong ikan bersaiz kecil dan didapati didalamnya terdapat pelbagai jenis ikan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, tangkapan berusia 36 dan 51 tahun bersama rampasan rokok 307,200 batang serta kenderaan dibawa ke Batalion 14 PGA Tawau untuk tindakan lanjut.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM335,355.

“Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|