Remaja perempuan lemas selamatkan adik

Remaja perempuan lemas selamatkan adik

Penampang: Seorang remaja perempuan lemas selepas menyelamatkan adik bongsunya dalam kejadian di Sungai Moyog, berhampiran Kampung Kambau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa yang berusia 16 tahun dikatakan bertindak terjun ke sungai berkenaan selepas menyedari adiknya hanyut dibawa arus sungai.

Bagaimanapun, sebaik berjaya membawa adiknya ke tepi sungai, mangsa yang dipercayai kepenatan terus tenggelam sebelum ditemui lemas.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11.14 pagi sebekum mengerahkan sepasukan anggota dan pegawai ke lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga adiknya dikatakan mandi di sungai berkenaan

“Kejadian bermula apabila mangsa cuba menyelamatkan adik yang tiba-tiba hanyut dibawa arus.

“Namun selepas adiknya berjaya diselamatkan mangsa dilihat tenggalam sebelum ditemui lemas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Haris berkata, salah seorang adik mangsa terus pulang ke rumah untuk memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa mereka.

Katanya, hasil daripada bantuan penduduk setempat, mangsa berjaya ditemui tidak jauh dari tempat kejadian.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|