Kelonggaran diumumkan Perdana Menteri wajar

Kelonggaran diumumkan Perdana Menteri wajar

Kota Kinabalu: Kelonggaran diumumkan kerajaan amat wajar dan dialu-alukan kerana ia akan memberi impak positif kepada beberapa sektor dalam usaha memulihkan ekonomi negara.

Selain itu, ia juga memberi ruang kepada ramai pihak, termasuk mereka yang berjauhan untuk kembali bersama keluarga dan aktiviti sosial lain.

Pakar Teknologi Maklumat, Edham Arief Dawillah, 39, berkata, kerajaan sudah pasti membuat pengumuman itu dengan mengambil kira semua perkara berkaitan.

Namun katanya, masyarakat masih perlu menyesuaikan diri untuk hidup berdepan cabaran pandemik Covid-19.

“Pemberian vaksin akan mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara. Walaupun masih ada jangkitan, ia akan dapat dikawal sebaiknya.

“Tidak dinafikan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) khusus juga perlu diteruskan dalam mengekang keseriusan kesan dan impak pandemik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Edham berkata, masyarakat perlu meneruskan kehidupan tanpa mengabaikan kepentingan menjaga dan memelihara kesihatan sepanjang masa.

Sementara itu, penjawat awam Jefri Gani, 38, berkata, kelonggaran yang diumumkan hari ini
diharap akan diperluaskan lagi dalam tempoh terdekat selepas ini.

Katanya, ia sebagai usaha menghidupkan semula sektor ekonomi dan sosial yang selama ini terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19.

“Sebagai penjawat awam, kami menyambut baik pengumuman oleh Perdana Menteri, ia sedikit sebanyak mengurangkan sedikit tekanan kepada keadaan ketika ini.

“Ekonomi perlu dipulihkan semula dan diharap selepas pengumuman fasa baru Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini akan membawa lebih banyak berita menggembirakan,” katanya.

Menurutnya, begitu juga dengan aktiviti riadah dan sukan yang dibenarkan akan memberi impak baik kepada kadar kesihatan masyarakat.

Seorang lagi orang awam yang ditemui, Clement Chong berkata, masyarakat sendiri perlu menjaga disiplin bagi memastikan penularan wabak ini terkawal.

Katanya, pemulihan ekonomi menerusi pengumuman terbaru ini akan memberi harapan dan sinar baru kepada rakyat serta negara.

“Diharap akan ada lebih banyak berita menggembirakan selepas ini. Namun tanggungjawab besar rakyat adalah memastikan amalan SOP dijaga.

“Jangan leka sehingga membawa kepada penutupan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|