Kibar Jalur Gemilang tonjol patriotik rakyat walaupun masih pandemik

Kibar Jalur Gemilang tonjol patriotik rakyat walaupun masih pandemik

Kota Kinabalu: Meskipun dalam suasana pandemik, semangat patriotik terhadap negara harus ditonjolkan dengan menyertai kempen kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang berlangsung sepanjang Ogos hingga 16 September depan.

Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah, berkata rakyat di negeri ini perlu bersama-sama menjayakan kempen itu sebagai pencetus semangat patriotisme dan sayangkan negeri serta negara.

“Sempena bulan kebangsaan ini, kibaran Jalur Gemilang di rumah, pejabat mahupun di premis perniagaan dan kenderaan akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan.

“Bagi menyemarakkan lagi kempen kibar Jalur Gemilang, Jabatan Penerangan Sabah akan mengagihkan bendera kepada masyarakat untuk dikibarkan di semua 25 daerah seluruh negeri.

“Di samping itu, Jabatan Penerangan juga akan menganjurkan pelbagai program bagi memupuk rasa cinta kepada negara seperti kempen komuniti merdeka, pidato kenegaraan dan pertandingan keceriaan yang dilaksanakan sehingga September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) di Kompleks Bersepadu KKMM Sabah, di sini, semalam.

Program itu dianjurkan bersama agensi di bawah KKMM iaitu Jabatan 犀利士 Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Hadir sama ialah Pengarah Jabatan Penyiaran Sabah, Nor’ain Bakir dan wakil setiap agensi KKMM negeri.

Nadzerah berkata, Jabatan Penerangan juga akan menyelitkan kempen kibar Jalur Gemilang dan menanam semangat patriotik melalui program Info On Wheels (IOW) yang dilaksanakan jabatan itu untuk meningkatkan kesedaran vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sepanjang Ogos hingga 16 September depan.

“Melalui IOW, Jabatan Penerangan bukan saja terbabit secara langsung dalam program jangkauan luar, malah medium ini juga akan digunakan untuk menyebarkan kempen kibar Jalur Gemilang seterusnya menanam semangat patriotisme dalam jiwa masyarakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|