Lelaki melecur, rumah pekerja musnah terbakar

Lelaki melecur, rumah pekerja musnah terbakar

Kinabatangan: Satu blok yang menempatkan empat rumah pekerja ladang sawit jenis tidak kekal di Kampung Paris, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran itu jam 8.50 malam.

Katanya, sepasukan tujuh anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan Nurul Azlan Shah Jamaludin bergegas ke lokasi kejadian yang terletak 47 kilometer dari balai berkenaan.

“Operasi dijalankan menggunakan dua jentera bomba dan sebuah kenderaan pelbagai guna ke lokasi kejadian.

“Menurut laporan komander operasi, sebuah blok rumah menempatkan empat rumah musnah 100 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Affendy berkata, pihaknya berjaya mengawal api dari merebak lebih kurang jam 11 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya jam 11.13 malam.

Katanya, dalam insiden ini, seorang lelaki berusia 40-an turut cedera ringan selepas melecur di bahagian tangan.

“Tiada sebarang laporan kemalangan jiwa dilaporkan dan bahagian Forensik JBPM sedang menjalankan siasatan berhubung punca serta jumlah kerugian dalam kejadian ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|