Semporna: Taktik penyeludup menyembunyikan beberapa paket minyak masak menggunakan kanvas gagal apabila dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) di pesisir pantai Pulau Miaga, di sini, kelmarin.
Rampasan itu ditemui ketika anggota PPM Semporna menjalankan tugas kawalan keselamatan vaksin kira-kira jam 11 pagi.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, selepas berusaha mencari pemilik dan didapati tiada yang datang mengaku sebagai pemilik barangan berkenaan.
Katanya, minyak masak itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.
“Barang kawalan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,700,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Sehubungan itu, Mohamad berkata, pihaknya menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi whatsApp Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah di nombor 013-9391197.
Katanya, ia bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.
-Deasoka