72.17 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin setakat ini

72.17 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin setakat ini

Kota Kinabalu: Penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19 di Sabah baru mencapai 72.17 peratus atau seramai 1,990,728 orang sehingga semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata seramai 2,050,851 orang penduduk dewasa pula menerima satu dos vaksin atau 74.35 peratus.

“Kumulatif penduduk Sabah yang sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat 23 Oktober 2021 adalah seramai 2,375,248 orang.

“Ini meliputi 2,050,851 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 74.35 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk dewasa di Sabah.

“Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap pula, seramai 2,240,236 orang direkodkan setakat semalam dan daripada jumlah ini, seramai 1,990,728 orang atau 72.17 peratus adalah penduduk dewasa,” katanya dalam kenyataan media malam ini.

Beliau berkata, pencapaian vaksinasi remaja pula, mencatat seramai 324,397 orang atau 74.75 peratus daripada penduduk remaja di Sabah menerima satu dos vaksin, manakala 249,508 orang atau 57.49 peratus sudah lengkap dua dos vaksin.

Sementara itu, katanya statistik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menunjukkan seramai 23,042 orang menerima suntikan vaksin COVID-19 di seluruh negeri, semalam.

“Jumlah itu merangkumi 14,644 orang penduduk dewasa, seramai 6,046 orang remaja dan 2,712 orang adalah penerima dos penggalak atau suntikan dos ketiga,” katanya.

Kerajaan negeri sebelum ini mensasarkan akhir bulan ini untuk mencapai imuniti kelompok penduduk dewasa atau 80 peratus lengkap vaksin, namun berdasarkan pencapaian vaksinasi semasa, sasaran itu dijangka hanya dicapai pada minggu pertama atau kedua November ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|