Lelaki dicekup sebelum sempat jual syabu

Lelaki dicekup sebelum sempat jual syabu

Beaufort: Hasrat seorang lelaki yang dipercayai sedang menunggu pelanggan untuk menjual dadah tidak kesampaian apabila ditahan polis dalam serbuan di Membakut, di sini, semalam.

Dalam operasi 10.45 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun terbabit yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak 2017, ditahan bersama 10.70 gram dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, bertindak atas maklumat awam, suspek ditahan di sebuah kawasan parkir berhampiran sebuah kedai ‘hardware’.

Katanya, pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan Proton Saga yang dipandu suspek membawa kepada penemuan satu bekas warna kecil bertulis ‘ANDY B COMPLEX’..

“Polis mendapati bekas berkenaan berisi satu keratan straw bersama 14 paket kecil plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah syabu bernilai RM1,000.

“Suspek terus ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Katanya, siasatan awal mendapati turut mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|