Kota Kinabalu: Kejohanan bola sepak wanita Piala Borneo yang berasaskan perjanjian BIMP-EAGA dirancang dianjurkan tahun hadapan.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Dr Jelani Hamdan berkata, mengikut kepada pelan perancangan, kejohanan ini akan membabitkan penyertaan Sabah, Sarawak, Brunei, Indonesia dan Filipina.
Katanya, menerusi penganjuran piala ini, ia bukan saja sebagai salah satu penambahbaikan pasukan bola sepak wanita tetapi juga pengiktirafan kepada kaum wanita.
“Kita berhasrat untuk menghidupkan semula Piala Borneo yang sememangnya mempunyai sejarah sebelum ini namun didahului dengan kejohanan bola sepak wanita.
“Sekiranya ia mendapat sambutan menggalakkan, tidak mustahil kita akan adakan kejohanan Piala Borneo untuk pasukan lelaki,” katanya ketika ditemui pada sidang media, hari ini.
Jelani berkata, perancangan penganjuran ini sudah dibuat sejak April lalu dan diharap dapat direalisasikan pada tahun hadapan.
Sementara itu, Jelani berkata, pihaknya juga mencadangkan penganjuran liga bola sepak wanita Sabah mengikut zon.
Katanya, ia akan dipecahkan kepada tujuh atau lapan zon di seluruh negeri membabitkan 27 daerah.
“Kita cadangkan untuk membuat penganjuran kejohanan ini mengikut zon kerana ia akan membabitkan kos lebih rendah berbanding diadakan di setiap daerah.
“Kita harap dengan adanya kejohanan ini, Sabah akan dapat terus melahirkan pemain wanita bukan saja untuk negeri tetapi juga bola sepak negara.
“Seperti sebelum ini, Sabah tidak pernah gagal melahirkan pemain bola sepak wanita setiap tahun,” katanya.
Jelani berkata, malah ketika ini, seramai 13 pemain wanita dari Sabah sedang mengikuti latihan pusat di Bukit Jalil untuk kejohanan Piala AFC Wanita.
-Deasoka