Covid-19 Sabah: Hanya Ranau catat lebih 50 kes

Covid-19 Sabah: Hanya Ranau catat lebih 50 kes

Kota Kinabalu: Hanya daerah Ranau mencatat lebih 50 kes baharu dengan peningkatan 28 kes kepada 56 kes menjadikannya daerah paling tinggi kes baharu Covid-19 di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 25 daerah lain mencatat kes di bawah 50, manakala satu daerah iaitu Kalabakan tidak mencatat sebarang kes baharu.

Katanya, daerah Keningau berada di kedudukan kedua dengan 49 kes hari ini, meningkat 25 kes berbanding 24 kes semalam, manakala Kota Kinabalu di kedudukan ketiga, juga mencatat 49 kes baharu tetapi turun 27 kes berbanding 76 kes semalam.

“Sebanyak 17 daerah mencatat penyusutan jumlah kes, lapan daerah merekodkan pertambahan kes, manakala kes di dua daerah iaitu Tongod dan Kunak tidak berubah berbanding semalam, iaitu masing-masing kekal tiga dan dua kes.

“Kes di Ranau dan Keningau pula naik dua kali ganda daripada jumlah semalam iaitu daripada 28 kes ke 56 kes di Ranau, manakala 24 kes ke 49 kes di Keningau. Ranau juga satu-satunya daerah di Sabah yang mencatatkan jumlah kes melepasi angka 50,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Secara keseluruhan, Masidi berkata, Sabah mencatat 502 kes baharu Covid-19 hari ini, turun 90 kes berbanding 592 kes yang dilalporkan semalam.

Katanya, berdasarkan analisis 502 kes yang dicatat hari ini menunjukkan 223 kes adalah kes yang lewat didaftar dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui.

Beliau berkata, ia bermakna hanya 279 kes atau 55.6 peratus daripada jumlah kes dilaporkan hari ini yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu.*

“Kes baharu yang diperolehi melalui saringan bergejala masih tinggi, iaitu 179 kes atau 35.7 peratus daripada jumlah kes yang direkodkan.

“Kelonggaran pelbagai sekatan dan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat yang semakin menurun kemungkinan besar menyumbang kepada kes bergejala atau kes sporadik yang tinggi.

“Keghairahan untuk kembali kepada gaya hidup sebelum pandemik membawa kepada sikap sambil-lewa atau lalai dalam pematuhan semua SOP ketika bersosial, di tempat kerja dan di khalayak ramai,” katanya.

Masidi berkata, daripada 502 kes hari ini, hampir 97 peratus kes adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2.

Jumlah kes dalam Kategori 3, 4 dan 5 yang memerlukan rawatan di hospital atau unit rawatan rapi (ICU) pula katanya kekal rendah iaitu lima orang dalam Kategori 3, tiga orang dalam Kategori empat dan hanya seorang dalam Kategori 5.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|