Kota Kinabalu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 20 menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu dan merampas 2,676.9 gram dadah syabu bernilai RM200,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Sandakan, semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 9 malam itu, kecekapan pasukan PGA diketuai Pegawai Pemerintah Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa turut merampas wang tunai berjumlah RM130,680.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat Asisten Komisioner Mohamed Rafiq bersama sepasukan polis dari cawangan Task Force risikan Batalion 20 PGA menahan seorang lelaki di kawasan parkir kondominium berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek terbabit menemui sejumlah wang tunai dengan nilai RM80,000 disyaki hasil daripada kegiatan penjualan dadah.

“Hasil soal siasat, pasukan PGA menyerbu sebuah rumah di kondominium berkenaan dengan dipandu arah oleh suspek dan menahan dua lagi individu termasuk seorang wanita.
“Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menjumpai tiga bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan berat 2,676 gram dadah syabu dianggarkan bernilai RM200,000.

Gambar ihsan PGA.
“Seterusnya turut ditemui lagi wang tunai bernilai RM50,680,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Selain itu, Abdul Rani berkata, turut ditemui mesin pengiraan wang, mesin untuk membungkus, alat penimbang digital, telefon bimbit dan komputer riba.
“Ketiga-tiga suspek berusia 29, 37 dan 41 tahun ditahan kerana disyaki menagih dan mengedar dadah.
“Semua rampasan termasuk kenderaan Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM370,680,” katanya.
Tambah beliau lagi, ini adalah rampasan terbesar membabitkan dadah oleh PGA Batalion 20 Beluran.
“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.
-Deasoka