Tuaran: Inisiatif kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjaya membantu seramai 4,864 individu untuk memperolehi pekerjaan dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seramai 7,141 rakyat Sabah juga berjaya kembali bekerja berdasarkan statistik yang dikeluarkan PERKESO Sabah pada tahun 2020.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melancarkan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021.
Katanya, inisiatif yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui PERKESO di bawah program PEMULIH memberi impak yang positif, sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.
“Ini adalah satu langkah yang amat baik dalam proses negara memulihkan dan merancakkan kembali ekonomi negara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat gerai karnival kerjaya.
“Kerajaan juga sememangnya sudah bersedia berhadapan dengan isu pemberhentian kerja dan pengangguran ketika negara sedang menghadapi pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Kerjaya Urban Poor Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021 di Dataran Astaka Padang Tuaran, hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan faedah Perkeso berupa alat pemulihan kepada seorang penerima.
Program Karnival Kerjaya Urban Poor peringkat negeri Sabah 2021 Daerah Tuaran ini, adalah yang pertama dan karnival seumpama ini akan diteruskan secara berperingkat ke daerah luar bandar di Sabah.
Hajiji berkata, kerajaan juga mengambil langkah proaktif tanpa menunggu keadaan menjadi bertambah serius.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan faedah Perkeso berupa alat pemulihan kepada seorang penerima.
Katanya, dalam tempoh Pandemik COVID-19 bermula Mac 2020 hingga September 2021, PERKESO Sabah berjaya menganjurkan sebanyak 307 aktiviti temuduga, iaitu 267 temuduga secara maya dan 40 aktiviti secara fizikal yang dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai industri dan majikan.
“Selain itu, bagi memudahkan lagi proses temuduga dalam talian, PERKESO Sabah mengadakan kerjasama strategik dengan Pusat Internet Desa bagi memastikan capaian internet untuk pencari kerja di luar bandar dapat diakses dengan mudah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan faedah Perkeso (sistem insurans pekerjaan) kepada seorang penerima di majlis itu.
“Usaha ini bagi membantu pencari kerja di kawasan luar bandar,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, sejajar dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, PERKESO menjalin kolaborasi strategik bersama kerajaan negeri.
Katanya, ia adalah bagi membantu menstabilkan dan menguruskan hal berkaitan pasaran buruh menerusi aktivit perkhidmatan pekerjaan yang dilaksanakan secara berterusan.
“Saya melihat usaha ini akan membantu lebih ramai belia dan lepasan sekolah di negeri ini untuk mendapat peluang pekerjaan termasuk dalam pelbagai sektor industrii,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, Karnival Kerjaya Urban Poor hari ini, menawarkan lebih 1,000 kekosongan jawatan membabitkan 15 majikan yang mengambil bahagian dalam program temuduga sempena karnival itu.
“Ini adalah antara inisiatif kerajaan melalui PERKESO dalam membantu rentan bandar, khususnya golongan B40 berkaitan menyediakan peluang carian pekerjaan dan penempatan kerja dalam kalangan belia lepasan sekolah, graduan dan pekerja yang kehilangan pekerjaan.
“Kita berharap pencari kerja akan mengambil peluang menyertai mana-mana karnival yang dianjurkan oleh PERKESO,” katanya.
Untuk rekod, Karnival Kerjaya Urban Poor anjuran PERKESO Sabah adalah penganjuran yang kedua, selepas Karnival e-Kerjaya PERKESO Negeri Sabah pada 25 September lalu.
-Deasoka