STAR cadang sidang khas DUN bahas pindaan Perlembagaan Persekutuan

STAR cadang sidang khas DUN bahas pindaan Perlembagaan Persekutuan

Kota Kinabalu: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mencadangkan agar persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan bagi membahas usul berkaitan perkataan yang akan digunakan dalam pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan.

Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata ia adalah langkah terbaik perlu dilakukan kerana sebarang perubahan perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan yang akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak seharusnya dipersetujui DUN Sabah berbanding menteri persekutuan.

“Tidak kisahlah sama ada menteri persekutuan dari Sabah atau Sarawak. Realitinya selagi mereka menteri persekutuan, mereka mewakili kerajaan persekutuan, bukan kerajaan Sabah atau Sarawak.

“Sebaliknya, DUN Sabah dan Sarawak mewakili rakyat kedua-dua negeri. Sebarang keputusan dibuat Parlimen yang memberi kesan kepada negeri Borneo itu tanpa persetujuan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak akan menjadi tidak sah dari segi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau sentiasa menyatakan bahawa perkataan yang diusulkan dalam pindaan itu akan menimbulkan lebih banyak kekaburan yang berpotensi membuka subjek kepada tafsiran yang berbeza bergantung kepada kepercayaan seseorang.

Beliau menegaskan bahawa hanya selepas DUN Sabah membahas dan memutuskan perkataan yang paling sesuai digunakan dalam pindaan itu barulah keputusan berkenaan diserahkan kepada Parlimen dan kerajaan persekutuan.

“Selain itu, kita tidak mahu pindaan ini hanya bersifat kosmetik saja sedangkan realitinya Sabah dan Sarawak masih tidak dilayan sebagai rakan setara.

“Jangan lupa banyak isu berkaitan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih belum diselesaikan.

“Contohnya, perkataan dalam perjanjian itu sendiri menyebabkan ada pihak percaya bahawa Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu seperti dalam Perkara 1 yang menyatakan Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian daripada persekutuan dengan negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu, menjadikan kita negeri ke-12 dan ke-13.

“Akhirnya apa yang kita lihat ialah Tanah Melayu ditukar namanya kepada Malaysia dan meluaskan sempadannya dengan memasukkan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata ia bukan aspirasi sebenar Malaysia dan bukan seperti diharapkan oleh pemimpin terdahulu ketika mereka mula-mula bersetuju mengenai pembentukannya.

Jeffrey berkata, bertentangan dengan MA63, Proklamasi Malaysia pada 16 September 1963 yang melengkapkan pembentukan Malaysia menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak serta Singapura disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

“Apa yang saya mahu katakan ialah dengan melihat balik MA63 seperti mengundur ke belakang. Kenapa tidak diteruskan mengikut Proklamasi Malaysia apabila status Sabah dan Sarawak bertukar daripada koloni kepada negara,” katanya.

Beliau mencadangkan agar cadangannya itu dibentangkan pada persidangan khas DUN untuk dibahas dan diselesaikan oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Apa saja yang diputuskan DUN akan menjadi pendirian rasmi Sabah dalam mana-mana pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memberi kesan kepada negeri di Borneo,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|