Sindiket transporter guna bot pancing seludup PATI tumpas

Sindiket transporter guna bot pancing seludup PATI tumpas

Kota Kinabalu: Agensi Penguat kuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menumpaskan sindiket ‘transporter’ pendatang asing tanpa izin (PATI) susulan penahanan 11 individu termasuk tekong dan remaja perempuan warga Filipina di perairan Kota Kinabalu, di sini, semalam.

Semua individu berusia lingkungan sembilan hingga 61 tahun ditahan anggota Maritim Malaysia Sabah dan Labuan dalam satu Operasi Khas di kedudukan 1.0 batu nautika barat laut Pulau Sepanggar, jam 11.30 malam.

Pengarah Maritim Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim
Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tangkapan ini dibuat berikutan maklumat risikan dan intipan mengenai aktiviti sindiket PATI yang menggunakan bot pancing tempatan bagi mengaburi penguat kuasa dalam membawa masuk dan keluar PATI di
perairan negeri ini.

Katanya, operasi khas bagi menyerbu sindiket bermula dengan pengesanan ke atas sebuah bot pancing tempatan yang sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 11 individu termasuk tekong berada dalam bot berkenaan. Tekong serta lima penumpang lelaki termasuk seorang remaja perempuan adalah warga Filipina yang tidak memilik sebarang dokumen
pengenalan diri yang sah.

“Manakala, empat lagi penumpang warga tempatan iatu tiga lelaki dan seorang wanita. Semua mereka berusia dalam lingkungan sembilan hingga 61 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket ini menggunakan bot pancing sebagai kaedah pengangkutan pergi dan balik dari Kota Kinabalu ke Pulau Banggi yang bersempadan dengan Filipina bagi menggaburi mata pihak berkuasa.

“Bot, tekong dan penumpang di bawa ke Jeti Maritim Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat di bawah seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 dan seksyen 8(2) serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|