Sabah akan beli sendiri vaksin

Sabah akan beli sendiri vaksin

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memutuskan untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan vaksin yang dibimbangi menjejaskan usaha mencapai imuniti kelompok di negeri ini.

Dalam satu kenyataan malam ini, jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata langkah itu juga bagi menampung kekurangan vaksin Pfizer yang dijangka berlaku disebabkan gangguan pengeluaran yang turut memberi kesan kepada Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri akan meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk menggunakan sebahagian keuntungan perniagaan bagi membeli vaksin untuk kakitangan dan pekerja, manakala selebihnya didermakan secara percuma kepada rakyat.

“Inisiatif ini akan mempertingkatkan program imunisasi dan mempercepat pemberian vaksin kepada semua penduduk di Sabah.

“Kerajaan negeri melalui GLC bersedia membeli vaksin sekiranya berlaku kekurangan bekalan bagi memastikan semua penduduk memperolehi vaksin dengan kadar segera.

“Perbelanjaan pembelian vaksin ini akan ditolak daripada jumlah dividen tahunan yang lazim dibayar oleh GLC kepada kerajaan negeri setiap tahun,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Masidi berkata, syarikat swasta khususnya syarikat perladangan besar juga digalak melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kebajikan pekerja masing-masing dengan membeli vaksin untuk kegunaan pekerja mereka sendiri tanpa menunggu vaksin percuma daripada kerajaan.

“Kita sedia maklum bahawa sebahagian besar iaitu 80 peratus daripada pekerja ladang adalah rakyat asing. Program amal ini atau CSR akan membantu mempercepatkan imunisasi kepada seluruh penduduk dewasa di Sabah, tidak kira warga negara atau bukan.

“Kerajaan negeri bersedia menimbangkan untuk membenarkan ladang besar yang berjaya memberi vaksin kepada 100 peratus pekerja mereka, termasuk keluarga, beroperasi semula dengan kapasiti tenaga kerja penuh atau 100 peratus.

“Syarikat yang berhasrat membeli sendiri vaksin untuk pekerja mereka boleh menghubungi GLC negeri, Qhazanah Sabah. Syarikat itu dilantik oleh Pharmaniaga Bhd yang mempunyai kilang di Kuala Lumpur mampu mengeluarkan sehingga empat juta dos vaksin Sinovac sebulan sebagai wakil penjualan vaksin itu di Sabah kerana memunyai kemudahan penyimpanan di sini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan negeri memberi jaminan pemberian vaksin Covid-19 secara percuma kepada semua penduduk Sabah.

Jelasnya, cadangan menggalakkan syarikat besar untuk menderma vaksin kepada pekerja mereka adalah untuk mempercepatkan usaha agar Sabah mencapai imuniti kelompok dan dalam masa yang sama membolehkan syarikat terbabit beroperasi sepenuhnya apabila semua pekerja lengkap diberi vaksin.

“Vaksinasi adalah kunci kepada usaha yang berkesan memerangi pandemik Covid-19 di Sabah. Dalam masa yang sama seluruh penduduk juga harus bekerjasama dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP). Penjagaan kesihatan secara penuh disiplin akan mengurangkan risiko jangkitan virus ini,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kerajaan negeri berpuas hati dengan kadar pemberian vaksin harian yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dengan kerjasama pelbagai agensi ketika ini.

Sehingga semalam, katanya JKNS berjaya menyuntik dos pertama vaksin kepada 42 peratus penduduk Sabah, manakala 18.1 peratus lengkap dua dos vaksin.

Bagaimanapun, pencapaian setiap daerah berbeza berikutan ada daerah seperti Beaufort mencatat lebih 50 peratus penduduk lengkap dua dos vaksin, manakala daerah lain masih ketinggalan dengan ada antaranya mencatat kurang 12 peratus imuniti kelompok.

“Kabinet negeri sudah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri menyiasat punca prestasi imunisasi yang rendah ini dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya.

“Presiden Majlis Perbandaran, Pengerusi Lembaga Bandaran dan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) juga diarah melaksanakan gerakan imunisasi untuk mencapai kuota imunisasi harian yang ditetapkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|