Padah guna bom tangkap ikan

Padah guna bom tangkap ikan

Kota Kinabalu: Tiga lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bahan peledak di kedudukan 1.2 batu nautika barat laut, Tanjung Gaya, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 16 dan 33 tahun ditahan ketika berada di sebuah pam bot bersama ikan disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim, Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan kerana bergerak secara bergelap dan disyaki sedang melakukan aktiviti perikanan yang dilarang pada jam 12.05 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot membawa kepada penahanan tiga lelaki kerana disyaki memiliki ikan yang ditangkap menggunakan bom.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Sabah, Sepanggar untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda mengikut 26(1)(b) tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Mohd Rosli berkata, aktiviti mengebom ikan ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang negara malah memberi kesan buruk terhadap eko-sistem laut kerana boleh memusnahkan batu
karang yang menjadi habitat kepada ikan-ikan kecil dan hidupan marin yang lain.

Katanya, aktiviti ini juga boleh menyebabkan kecederaan dan kematian kepada si pelaku dan mereka yang sedang melakukan aktiviti menyelam.

“Maritim Malaysia akan terus melakukan operasi dan risikan bagi membanteras aktiviti penyeludupan PATI dan bom ikan ini.

“Selain itu tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atau individu yang mendalangi aktiviti berkenaan,” katanya.

Beliau menambah, kawalan
sempadan perairan Sabah juga akan terus diperkasakan agar aktiviti
kemasukan PATI dapat dibanteras.

“Maritim Malaysia mohon kerjasama daripada komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di perairan Kota Kinabalu di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah 088-387774,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|