Kabinet negeri setuju pendekatan baharu JKNS tangani Covid-19

Kabinet negeri setuju pendekatan baharu JKNS tangani Covid-19

Kota Kinabalu: Kabinet negeri hari ini bersetuju dengan pendekatan baharu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang antara lain menggariskan asas penting meningkatkan peratusan vaksinasi rakyat sebagai langkah menangani peningkatan kes Covid-19 di Sabah.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata JKNS menggariskan lima asas untuk mendepani pandemik Covid-19 di negeri ini yang dibentangkan Pengarahnya, Dr Rose Nani Mudin pada mesyuarat Kabinet negeri siang tadi.

Katanya, menerusi usaha ke arah meningkatkan peratusan vaksinasi penduduk, JKNS mensasarkan untuk mencapai imunisasi kelompok di Sabah sebelum Oktober depan.

“Kedua, JKNS bersetuju pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan lagi kaedah utama untuk menghentikan penularan jangkitan Covid-19.

“Kemudian, ketiga kita kena menerima hakikat bahawa kita perlu hidup bersama Covid-19 dalam tempoh yang lama dan norma baharu menjadi amalan dalam kehidupan harian.

“Seterusnya, keempat mengambil langkah dan dasar baharu yang mengimbangi hidup dan tuntutan kehidupan bagi membolehkan ekonomi Sabah pulih seperti sedia kala dengan pematuhan norma baharu.

“Yang kelima, kejayaan pendekatan dan dasar baharu ini banyak bergantung kepada kerjasama rakyat untuk mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) norma kehidupan seharian yang baharu,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mengambil berat keadaan semasa pandemik Covid-19 di Sabah yang kini mencatat jumlah kes harian yang tinggi.

Hari ini saja, Sabah mencatat sebanyak 1,514 kes baharu, iaitu yang tertinggi berbanding jumlah kes harian yang pernah direkodkan sebelum ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Sabah tidak terkecuali daripada melalui arus jangkitan baharu Covid-19 yang sedang berlaku hampir di seluruh dunia di tambah lagi dengan timbulnya varian baharu Covid-19 yang lebih bahaya dan merebak dengan cepat.

“Virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti kita dan jangkitan bukan lagi berlaku di lokaliti terpencil yang mudah dibendung dengan mengenakan perintah PKPD atau ‘lockdown’.

“Sekarang ramai orang secara tidak sedar adalah ‘potential virus carrier’ atau pembawa virus Covid-19 yang dengan mudah menjangkiti orang lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|