Covid-19: Pergaulan rapat rumah sewa cetus kluster di kilang papan

Covid-19: Pergaulan rapat rumah sewa cetus kluster di kilang papan

Kota Kinabalu: Pergaulan rapat di antara penghuni rumah sewa atau kuarters yang padat dikesan punca utama penularan Covid-19 yang mencetuskan kluster baharu di Keningau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata Kluster Batu 27 Sook itu tercetus di sebuah kilang papan di mukim Sook, Keningau.

Katanya, kluster yang membabitkan pekerja di kilang terbabit dikesan selepas seorang pekerja wanita bukan warga negara berumur 23 tahun disahkan positif Covid-19 hasil saringan tempat kerja pada 9 Ogos lalu.

“Turut dikesan positif ialah empat rakan sekerja kes indeks pada hari yang sama. Setakat hari ini, daripada 136 orang yang disaring, sebanyak 55 kes didapati positif termasuk 50 kes baharu.

“Jumlah itu dikesan hasil saringan di kuarters pekerja atas inisiatif pengurus perusahaan dan kuarters. Penularan dalam kluster ini dipercayai berpunca daripada pergaulan rapat antara penghuni rumah sewa yang padat,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Masidi berkata, kluster baharu itu menyumbang kes tertinggi bagi kategori saringan kluster di Sabah yang secara keseluruhan mencatat 118 kes hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 13 lagi kes kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah hari ini dengan tujuh kes dilaporkan di Kota Kinabalu, manakala masing-masing satu kes di Papar, Kudat, Tuaran, Penampang, Tawau dan
Beluran.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 1,514 kes hari ini, iaitu yang tertinggi direkodkan setakat ini, manakala seramai 1,219 pesakit dibenarkan keluar hospital, iaitu jumlah sembuh harian yang juga antara tertinggi pernah direkodkan di Sabah.

Masidi berkata, seramai 4,688 pesakit pula sedang menerima rawatan iaitu 1,099 orang di hospital, manakala seramai 3,533 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, diikuti 50 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara dan enam orang dirawat di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari ini pula ialah seramai 153 orang dan 66 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|