Ibu Ebi meninggal dunia

Ibu Ebi meninggal dunia

Kota Kinabalu: Penyanyi Ebi Kornelis yang masih dirawat akibat jangkitan Covid-19 hari ini menerima khabar sedih mengenai ibunya yang meninggal dunia akibat virus berkenaan.

Difahamkan, ibu Ebi, Reni Bakar, 81, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (QEH) pada kira-kira jam 9.40 malam tadi selepas dibawa ke hospital berkenaan pada tengah hari semalam dipercayai akibat sesak nafas.

Berita kematian ibu Ebi itu dikongsikan kenalan dan rakan beliau melalui laman Facebooknya yang merakam ucapan takziah selain mendoakan agar Naib Juara Akademi Fantasia (AF) musim kelima itu tabah menghadapi dugaan berkenaan.

Pada 8 Ogos lalu, Ebi yang juga seorang pelakon berkongsi di laman Facebook mengenai keadaan dirinya dan ayahnya, Yaimal Muhammad, 74, yang dijangkiti Covid-19.

Difahamkan, ayahnya juga masih menjalani rawatan akibat jangkitan virus berkenaan di QEH.

Ebi sebelum ini turut menyatakan kerisauannya mengenai keadaan ibunya yang berseorangan di rumah selepas dia dan ayahnya terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) sebelum dimasukkan ke hospital.

Dalam perkongsian di Facebooknya sebelum ini, Ebi menitipkan kata-kata peringatan kepada pengikutnya bahawa Covid-19 bukan mainan, selain memohon agar didoakan kesembuhan daripada ancaman virus berkenaan.

“Ya Allah Ya Tuhan ku, tuhan yang maha besar memiliki segala isi bumi dan langit…Saya dan keluarga sekarang sedang diuji dengan Covid-19.

“Mohon doakan kesembuhan saya dan keluarga, bapa dan mama. Ampunkanlah dosa-dosa dan kesalahanku sama kamu semua sama ada zahir atau batin.

“Aku terima ujian Allah…..Tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad pesuruh Allah…#covid19 #covidbukanmainan,” katanya menerusi perkongsian di laman Facebook beliau sebelum ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|