Covid-19: Jumlah kes terus melonjak, kenaikan mendadak di Penampang punca utama

Covid-19: Jumlah kes terus melonjak, kenaikan mendadak di Penampang punca utama

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah terus melonjak dengan angka terbaharu 1,514 kes hari ini, iaitu yang tertinggi berbanding jumlah kes harian yang pernah direkodkan sebelum ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata penambahan 131 kes baharu berbanding 1,383 semalam banyak dipengaruhi kenaikan mendadak di daerah Penampang.

“Daripada 80 kes semalam, Penampang hari ini merekodkan 228 kes iaitu bertambah 148 kes, hampir tiga kali ganda berbanding semalam. Sebanyak 60.5 peratus kes di Penampang adalah kontak rapat dan 33.3 peratus adalah melalui saringan bergejala.

“Keningau pula menambah 61 kes baharu hari ini, diikuti Papar menambah 53 kes dan Beluran menambah 46 kes berbanding jumlah semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kes baharu di Kota Kinabalu menunjukkan penurunan sebanyak 63 kes hari ini tetapi masih mencatatkan kes yang tertinggi di Sabah dengan 263 kes.

Sebanyak 60.5 peratus kes di Kota Kinabalu katanya disumbang melalui saringan kontak rapat dan 26.3 peratus lagi melalui saringan bergejala.

“Secara keseluruhan 925 atau 61 peratus kes hari ini membabitkan kontak rapat, diikuti 331 kes atau 21.8 peratus melalui saringan bergejala dan 118 kes (7.8 peratus) dikesan melalui saringan kluster sedia ada.

“Seramai 1,005 daripada 1,514 kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2, seramai 13 orang dalam kategori 3 serta masing-masing tiga orang dalam kategori 4 dan 5. Selebihnya masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk menentukan kategori,” katanya.

Katanya, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Batu 27 Sook di Keningau yang setakat ini mencatat jumlah kumulatif sebanyak 55 kes termasuk 50 kes baharu hari ini.

Selain Kota Kinabalu dan Penampang, tiga lagi daerah turut mencatat kes tiga angka hari ini iaitu Keningau (140), Tawau (137) dan Sandakan (104).

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|